KOTA KINABALU: Satu Memorandum Persefahaman (MoU) telah ditandatangani diantara Universiti College Sabah Foundation (UCSF) dan Shangri-La Tanjung Aru (STAR), baru-baru ini.
MoU itu ditandatangani Naib Canselor UCSF, Datuk Dr. Rafiq Idris, dan Pengurus Besar STAR, Conor Hadlington.
Majlis menandatangani perjanjian itu turut dihadiri Setiausaha Korporat Yayasan Sabah, Hanafiah Diman dan Ketua Pegawai Operasi Innoprise Corporation Sdn. Bhd.,
Douglas Joinol bersama dengan pihak pengurusan dan kakitangan daripada kedua-dua pihak.
Conor berkata, kerjasama itu menandakan langkah penting ke arah memperkukuh hubungan antara dunia akademik dan industri perhotelan.
“Kami berbangga dengan MoU ini. Perkongsian ini akan membuka peluang latihan, penempatan kerja dan pembangunan kerjaya yang akan memberi manfaat bukan sahaja kepada UCSF dan STAR tetapi juga kepada sektor pelancongan dan perhotelan yang lebih luas di Sabah,” katanya.
Sementara itu, Rafiq berkata, MoU itu mewujudkan rangka kerja kerjasama yang saling menguntungkan bagi kedua-dua pihak.
Beliau menekankan komitmen kedua-dua organisasi untuk bekerjasama dalam pelbagai bidang, termasuk menyediakan penempatan latihan industri kepada pelajar UCSF serta melibatkan diri dalam inisiatif pendidikan.
“Perkongsian ini berpotensi melahirkan profesional mahir yang bersedia untuk memimpin dalam usaha eko pelancongan global,” katanya.
Beliau yakin MoU itu akan meningkatkan kerjasama dan memberikan manfaat kepada UCSF, STAR, dan pelbagai pihak berkepentingan di seluruh Sabah.