KUALA LUMPUR (Benama): Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan pemberian moratorium automatik selama tiga bulan kepada golongan berpendapatan rendah (B40) dan mereka yang kehilangan pekerjaan susulan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).
Katanya, inisiatif itu juga ditawarkan kepada perusahaan mikro dan Perusahaan Kecil dan Sederhanan (PKS) yang tidak dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh PKP.
“Saya juga mendengar permintaan rakyat supaya kerajaan menimbang semula pemberian moratorium.
“Sehubungan itu, hasil perbincangan bersama Bank Negara Malaysia (BNM), industri perbankan memberi jaminan dan komitmen penuh untuk terus memberikan bantuan pembayaran balik pinjaman dan moratorium.
“Oleh itu, bagi semua golongan B40 dan rakyat yang terjejas ekoran kehilangan pekerjaan serta perusahaan mikro dan PKS yang tidak dibenarkan beroperasi dalam tempoh PKP, anda diberi pilihan untuk mendapatkan kelulusan moratorium secara automatik selama 3 bulan atau boleh memilih untuk mendapatkan pengurangan bayaran balik secara ansuran sebanyak 50 peratus selama tempoh 6 bulan,” katanya dalam perutusan khas malam ini.
Muhyiddin berkata inisiatif ini akan dilaksanakan segera pada bulan Jun yang dijangka memanfaatkan lebih lima juta peminjam dengan nilai sehingga RM30 bilion.
“Insha-Allah, industri perbankan akan memberikan maklumat lebih terperinci berhubung perkara ini mulai esok. Saya berharap, pengumuman moratorium automatik ini dapat memberi sedikit kelegaan kepada peminjam institusi perbankan.
“Para peminjam hanya perlu menghubungi bank masing-masing untuk mendapat manfaat bantuan ini.,” katanya.
SabahNewsToday