PUTATAN : Kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Nenggiri Kelantan akan diterjemahkan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Sabah (PRN17) akan datang.
Pengarah Jabatan Pilihan Raya UMNO Sabah, Jeffery Nor Mohamed berkata, kejayaan pada PRK Nenggiri membawa imej positif kepada UMNO khususnya di Sabah, bakal berhadapan PRN paling lewat diadakan seawal tahun depan.
Katanya, kemenangan calon BN di PRK Nenggiri membuktikan BN mampu pulih sepenuhnya sekali gus bangkit selepas proses pembersihan dalaman dilakukan termasuk di Sabah.
“Kemenangan BN pada PRK Nenggiri ini berdasarkan beberapa faktor termasuk kegagalan kerajaan negeri diterajui PAS untuk membangunkan negeri Kelantan.
“Ini khususnya berlaku di kawasan DUN Nenggiri yang berhadapan dengan serba kekurangan termasuk pembangunan insfrastruktur asas seperti jalanraya, bekalan air bersih serta peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat,” katanya dalam kenyataan di sini hari.
Jeffery merupakan Ketua UMNO Bahagian Putatan berkata, kejayaan ini sudah tentu memberikan aura positif kepada ahli UMNO Sabah yang dicemuh oleh pihak lawan.
“Pelbagai tanggapan negatif termasuk usaha pihak tertentu di Sabah sering mengaitkan sentiment anti parti Malaya walaupun Umno sudah bertapak lebih 33 tahun di negeri ini.
“Apa pun isu dibangkitkan bagi menghalang keberadaan UMNO dalam persada politik di negeri Sabah, ia tidak cukup untuk mempengaruhi pemikiran ahli serta rakyat di negeri ini,” jelas Jeffrey Nor.
Menurutnya, sikap sebilangan pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) terbukti gagal memberikan naratif secara fakta dan data, sebaliknya terus memainkan retorik serta sentiment bangsa dan kenegerian.
“Hakikatnya, Nenggiri dan Sabah itu berbeza tetapi momentum UMNO Kelantan itu boleh dibawa ke Sabah dalam strategi yang berbeza bagi menghadapi PRN Sabah akan datang,” kata Jeffery Nor.
