SANDAKAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manila, Mokran Ingkat berkongsi cabarannya menangani isu bekalan air di kawasan yang diwakilinya dan selama tujuh bulan tidak menerima peruntukan daripada Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan.
Menerusi perkongsian terbaru Facebook, Mokran berkongsi sedikit sebanyak maklumat berkenaan perkembangan isu air negeri yang kian berlarutan terutamanya di kawasan DUN Sungai Manila.
Katanya banyak aduan berkenaan masalah air telah dibuat oleh orang ramai kepadanya dan dia telah membawa perkara itu kepada Jabatan Air Negeri Sabah (JANS).
Menurutnya JANS memaklumkan bahawa kaedah paling cepat untuk memulihkan bekalan air secara tuntas termasuk di kawasan Sungai Manila ialah dengan mengorek semula jalanraya untuk melihat keadaan paip rosak yang kebanyakkannya berada di bawah tanah.
Namun begitu, katanya, Jabatan Kerja Raya (JKR) memaklumkan bahawa kaedah tersebut akan melibatkan kos yang sangat tinggi dan menjejaskan kelancaran lalu lintas jalanraya yang terlibat menyebabkan ianya tidak dapat dilaksanakan.
“JANS turut memaklumkan akan memulihkan bekalan air menggunakan kaedah lain namun ianya akan mengambil masa yang lama,” katanya.
Berhubung masalah air di PPR Sungai Manila, Mokran menjelaskan ianya bukanlah tanggungjawab Penyelenggara Amal Maju sebaliknya ianya terletak dibawah bidang kuasa dan tanggungjawab penuh JANS dengan kerjasama Jabatan lain.
“Saya amat memahami perasaan penghuni di PPR itu memandangkan saya dan keluarga juga merupakan antara yang terkesan dengan isu air ini dalam menjalani kehidupan seharian.
“Saya telah mencuba sedaya upaya untuk menyampaikan apa jua permasalahan kepada pihak yang ada kuasa untuk melaksanakan penyelesaian terbaik,” katanya.
Dalam pada itu, Mokran menyatakan kapasitinya kini terhad termasuk selepas Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) N.51 Sungai Manila dibawah telah dilucutkan sejak Februari 2023.
Tambahan pula, katanya Pemimpin Pembangunan Masyarakat bagi DUN Sungai Manila yang baharu tidak lagi berada dalam kawalan saya, tetapi dikawal oleh Pengarah UPPM Sabah yang merupakan orang Sandakan.
“Sejak Januari sehingga awal Julai 2023 saya tidak mendapat apa-apa peruntukan daripada Kerajaan Negeri dan juga Persekutuan.
“Bermakna, saya tidak mendapat peruntukan kewangan dan kakitangan lapangan melainkan saya sendiri dan kawan-kawan politik yang ada kelapangan serta rezeki lebih untuk membantu secara sukarela,” jelasnya.
Beliau berterima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah mula menyalur sedikit peruntukan dan kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Noor yang turut telah membantu menyalurkan beberapa peruntukan yang diperlukan untuk pembangunan dan penyelenggaraan di Sungai Manila.
Mokran turut berkongsi mengenai beliau tidak lagi dijemput untuk menganggotai mana-mana Jawatankuasa Tindakan Daerah, Keselamatan atau Pembangunan di Daerah Sandakan yang berfungsi untuk menerima dan mencari jalan penyelesaian terhadap isu di Daerah Sandakan ini.
Justeru, katanya, dia tidak lagi dapat membawa dan menyuarakan isu-isu penting untuk diputuskan penyelesaiannya dengan kadar segera di peringkat Majlis Perbandaran Sandakan (MPS).
“Saya hanya mampu untuk berhubung secara langsung dengan pegawai yang bertanggungjawab di Jabatan, sebagai contoh, Jurutera Daerah Jabatan Air Sandakan yang amat responsif terhadap panggilan dan makluman yang saya berikan.
“Namun, bagi penyelesaian masalah, saya terpaksa akur dengan kaedah dan cara yang mereka fikir terbaik tanpa saya dapat memberi input tambahan di peringkat Jawatankuasa yang lebih tinggi,” katanya
Beliau sedar antara tugas dan tanggungjawab selaku wakil rakyat yang telah dipilih ialah untuk menerima dan menyampaikan apa jua kemusykilan dan masalah yang dihadapi masyarakat selain membuat perancangan pembangunan dan keperluan perkhidmatan dalam kawasan agar peruntukan dapat dipohon dengan idea-idea yang dikemukakan.
Dengan mendapat peruntukan, Mokran berkata banyak perkara boleh dilaksana untuk kepentingan masyarakat.
“Dalam keadaan tidak ada peruntukan, wakil rakyat diuji dengan cemuhan daripada masyarakat. Namun, cemuhan yang saya anggap sebagai keprihatinan perlulah dihargai dan diterima secara positif agar dapat memberi kebaikan bukannya keburukan.
“Saya akan terus berusaha untuk memberikan khidmat yang terbaik semampunya, insyaAllah,” katanya.
Beliau menyifatkan masalah bekalan air di Sabah, terutamanya di Sandakan dan khususnya di Sungai Manila bukanlah satu masalah jangka pendek.
Katanya pihak mana pun yang memegang tampuk kerajaan akan mengambil masa untuk menyelesaikannya.