KOTA KINABALU: Isu bekalan simen termasuk harga bahan binaan itu yang dihadapi sektor pembinaan di Sabah dijangka dapat ditangani menerusi pembukaan Loji Bersepadu Simen dan Klinker di Pinangah, Tongod.
Loji baharu yang akan dibina tidak lama lagi itu dilaksanakan secara usaha sama di antara Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO) dan syarikat Sri Alam Setia Sdn Bhd.
Ia susulan pemeteraian Perjanjian Usahasama (JV) kedua-dua pihak, hari ini yang menyaksikan penubuhan Borneo Cement (Sabah) Sdn Bhd bagi mengembangkan pembangunan loji terbabit.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor yang menyaksikan majlis pemeteraian JV itu berkata, projek berkenaan akan memastikan bekalan simen yang stabil di negeri ini.
“Projek ini akan memastikan bekalan simen secara konsisten dan harga yang lebih murah di Sabah. Ia berupaya mengeluarkan sehingga 5,000 tan klinker setahun dan 1.75 juta tan simen setahun,” katanya.
JV berkenaan ditandatangani Pengerusi SEDCO, Datuk Rubin Balang dan Pengurus Besar SEDCO, Haizar RH Ajaz Nabijan bagi pihak SEDCO, manakala Pengarah Alam Setia Alam, Michael Kinsuan dan peguam Hassan Murtaza mewakili syarikat terbabit.
Hajiji berkata kapasiti projek itu melebihi keperluan simen di Sabah ketika ini iaitu 1.4 juta tan setahun, sekali gus dapat memenuhi keperluan semasa, selain menjamin bekalan pada masa depan.
Selain itu, katanya, projek berkenaan juga disasar untuk mentransformasikan daerah Tongod, sejajar aspirasi kerajaan negeri untuk membasmi kemiskinan dengan membawa projek berimpak tinggi bagi mewujudkan peluang pekerjaan.
“Loji bersepadu itu disasar dapat mewujudkan sehingga 1,000 peluang pekerjaan kepada komuniti setempat,” kata Hajiji.
Sementara itu, satu Memorandum Perjanjian (MoA) turut ditandatangani di antara Borneo Cement (Sabah) Sdn Bhd dan Sinoma Industrial Engineering (M) Sdn Bhd, sebuah pengilang simen terbesar dunia dari China.
Ia bagi membina loji bersepadu simen dan klinker terbabit yang disasar siap dalam tempoh dua tahun.
MoU itu ditandatangani Datuk Masiung Banah selaku Pengerusi Borneo Cement (Sabah) Sdn Bhd, manakala Sinoma oleh wakil pengerusinya, Sun Jian.
l