KOTA KINABALU: Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal menerima kunjungan hormat oleh Kaunselor Politik Kedutaan Amerika Syarikat (AS), Chris Carver di kediamannya di sini hari ini.
Presiden WARISAN itu berkata, mereka berbincang mengenai beberapa isu penting di Sabah antaranya melibatkan ekonomi dan kerjasama antara negara yang dapat memberi manfaat kepada Malaysia khususnya rakyat negeri itu.
“Chris dan saya berbincang secara mendalam mengenai keadaan ekonomi di Sabah yang semakin berkembang pesat serta bagaimana usaha-usaha kerjasama antarabangsa dapat memperkukuh sektor-sektor strategik seperti perdagangan, pelaburan dan pembangunan infrastruktur di negeri ini.
“Kami percaya kerjasama yang lebih erat antara kedua-dua negara dapat membawa penyelesaian lebih efektif dalam menghadapi cabaran-cabaran mungkin ada,” katanya ketika ditemui pemberita selepas kunjungan itu hari ini.
Dalam pertemuan itu, Ahli Parlimen Semporna itu turut berkongsi kepada Chris mengenai populariti bola sepak wanita di Sabah yang kini semakin mendapat perhatian ramai.
“Saya berkongsi betapa bangganya kami melihat ramai pemain kebangsaan Malaysia yang berasal dari Sabah, membuktikan negeri ini bukan sahaja kaya dengan sumber semula jadi, tetapi juga sarat dengan bakat dan semangat yang tinggi dalam bidang sukan.
“Kami berbincang mengenai potensi besar menjalinkan kerjasama dalam pembangunan sukan, terutama dalam mengembangkan bakat-bakat muda di Sabah serta menggalakkan pertukaran pengalaman dalam kalangan belia di peringkat antarabangsa,” katanya.
Beliau turut menyentuh mengenai kejayaan klinik bola sepak menyaksikan Kedutaan Amerika Syarikat menganjurkannya di Sabah baru-baru ini.
“Klinik tersebut memberi peluang kepada golongan belia untuk belajar dan berlatih dengan pemain-pemain profesional, sekaligus memupuk semangat kerjasama dan persahabatan antara kedua-dua negara,” katanya.
Beliau berbangga melihat Sabah bukan sahaja dikenali di peringkat global kerana kekayaan sumber alam, tetapi juga kerana kecemerlangan rakyat dan bakat-bakat dimiliki.
Dalam pertemuan itu, katanya, Sabah mempunyai potensi sangat besar untuk terus berkembang dalam pelbagai bidang dan kerjasama antarabangsa kunci utama untuk mencapai matlamat tersebut.
“Kunjungan hormat ini bukan sahaja memperkukuh hubungan baik antara Sabah dan Amerika Syarikat, malah, membuka ruang bagi lebih banyak inisiatif yang dapat memperkasa rakyat Sabah melalui kerjasama dalam bidang ekonomi, keselamatan dan sukan,” katanya.
