KUALA LUMPUR: Naib Presiden BERSATU, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen meletak jawatan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Melaka dan Ketua Badan Pimpinan BERSATU Melaka berkuat kuasa serta merta.
Dalam kenyataan dilaporkan Berita Harian hari ini, beliau memaklumkan peletakan jawatan ini bagi memberi peluang kepada kepemimpinan baharu mengetuai BERSATU Melaka dan PN Melaka supaya mempunyai masa yang mencukupi bagi membuat segala persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
“Saya ingin memaklumkan peletakan jawatan saya sebagai Pengerusi PN Melaka dan Ketua Badan Pimpinan BERSATU Melaka berkuat kuasa serta merta.
“Surat rasmi peletakan jawatan saya akan diserahkan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, Presiden BERSATU dan Pengerusi PN esok,” katanya.
Di samping itu, katanya bagi membolehkan beliau memberi tumpuan sepenuhnya terhadap tanggungjawab sebagai Naib Presiden BERSATU menjelang PRU-15.
“Saya ingin memohon jutaan kemaafan atas segala kekhilafan sepanjang saya menjalankan tugas sebagai Pengerusi PN Melaka dan Ketua Badan Pimpinan BERSATU Melaka,” katanya.
Mohd Rafiq sebelum ini tewas di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas dalam saingan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, yang melabuh tirai Sabtu lalu.
BERSATU juga gagal mempertahankan kerusi disandang mereka dalam PRU 2018 iaitu DUN Telok Mas dan Paya Rumput, namun berjaya menang di DUN Bemban dan Sungai Udang dalam PRN kali ini.