KUALA LUMPUR: UMNO akan mengadakan mesyuarat khas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) secara dalam talian pada jam 4 petang esok bagi membincangkan isu politik terkini.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata mesyuarat itu juga akan turut membincangkan mengenai kenyataan media Istana Negara berhubung pembatalan Ordinan Darurat dan warkah Yang di-Pertuan Agong berhubung isu yang sama.
“Mesyuarat itu akan membincangkan mengenai pembatalan darurat dan penangguhan persidangan khas Parlimen hari ini,” katanya dalam kenyataan melalui media sosialnya, laporan Berita Harian online
Sebelum ini, UMNO sebagai reaksi kepada kenyataan media Istana Negara, menyatakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin wajar meletakkan jawatan kerana mengingkari titah Yang di-Pertuan Agong yang mahu semua Ordinan Darurat dibahas dan diungkaikan di Parlimen, seiring dengan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutan.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dilaporkan berkata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, juga mesti berundur kerana menderhaka titah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Sehubungan itu, beliau juga mengarahkan Ahli-Ahli Parlimen UMNO menzahir dan melaksanakan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu pada 7 Julai lalu, untuk menarik sokongan ke atas Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.