Anwar dakwa kerajaan PN telah ditumbangkan

KUALA LUMPUR – Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah ditumbangkan kerana sudah hilang majoriti.

Menurut Anwar, beliau mendapat maklumat dari negeri lain yang telah mengemukakan senarai barisan pemimpin yang meminta keluar daripada PN.

“Maka dengan 107 (ahli Parlimen) yang ada di sini, campur mereka, kerajaan sudah ditumbangkan.

“Soalnya, ini pelanggaran hukum menggunakan kuasa membelakangi rakyat, undang-undang, Parlimen dan membelakangi istana,” katanya semasa berucap di Dataran Merdeka pada Isnin.

Tambah beliau, belum pernah berlaku dalam sejarah pelanggaran hukum sedemikian rupa oleh Perdana Menteri dan kabinetnya.

“Penghinaan kepada institusi diraja menyebabkan kita berhimpun pada hari ini,” tegasnya.

Pada Isnin, cubaan ahli Parlimen pembangkang berarak untuk memasuki bangunan Parlimen tidak berjaya setelah disekat oleh pihak polis.

Ahli-ahli Parlimen berkenaan mula berkumpul di Dataran Merdeka kira-kira jam 10 pagi selepas gagal memasuki bangunan Parlimen yang dijadualkan jam 9.30 pagi.