Misi kemanusiaan HM4P dua minggu hulur bantuan kepada warga Palestin

SEPANG: Lima anggota misi “Humanitarian Mission 4 Palestine” (HM4P) berlepas ke Jordan awal pagi ini untuk misi kemanusiaan di Al-Quds dan Gaza.

Misi itu diketuai Pengerusi Biro Kebajikan UMNO Malaysia (BKUM) Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

“Misi dua minggu itu bertujuan menyatakan solidariti rakyat Malaysia dan UMNO kepada warga Palestin di Gaza dan Tebing Barat selepas serangan 11 hari oleh rejim Zionis ke atas Gaza bulan lepas,” katanya kepada Bernama pada majlis pelepasan ringkas di sini malam ini.

Abdul Azeez berkata HM4P juga akan menyalurkan bantuan kemanusiaan berbentuk kewangan, bekalan makanan dan ubat-ubatan kepada Masjid Al-Aqsa di Baitulmuqaddis, Tebing Barat dan warga Palestin yang terjejas di Gaza ekoran serangan oleh tentera Israel bulan lepas.

Misi itu, kata beliau, bermula hari ini dengan lima orang berlepas ke Jordan pada 2.20 pagi ini dan transit di Abu Dhabi sebelum tiba di Amman pukul 9.30 pagi (19 Jun).

BERNAMA