Meter Prabyar hanya kepada penduduk memiliki dokumen pengenalan – Charles

KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) perlu memastikan hanya penduduk yang mempunyai kad pengenalan serta dokumen lengkap diberikan keutamaan menikmati konsep ‘Meter Prabayar’ ini.

Ahli Majlis Tertinggi (AMT), Parti Warisan (WARISAN) Charles Ebbie berkata, penduduk setinggan yang tidak memiliki dokumen sepatutnya diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut.

Katanya, sekiranya SESB ingin meperkenalkan Meter Prabayar kepada warga asing, kadar tersebut mesti lebih tinggi daripada kadar yang dinikmati  rakyat tempatan.

“Ketika ini kelihatan tidak adil seolah-olah rakyat asing memperoleh manfaat sama seperti rakyat tempatan yang tinggal di kawasan penempatan setinggan.

“Kita menyokong usaha SESB memperkenalkan langkah Meter Prabayar ini bagi membendung kegiatan penyambungan elektrik haram terutama di penempatan setinggan,” katanya di sini hari ini.

Charles berkata, dalam masa sama SESB perlu mengemukakan laporan kepada pihak berkuasa sekiranya di kawasan penempatan itu wujud Pendatang Tanpa Izin (PTI) mendiami kawasan tersebut agar tindakan dapat diambil oleh Jabatan Imigresen.

“Kita mengambil kira kes mendapatkan rawatan di Hospital. Warga asing yang mempunyai dokumen akan dikenakan kadar tetentu manakala tanpa dokumen cas perlu lebih tinggi.

“Masalah gangguan bekalan elektrik bukan hanya berpunca daripada  penyambungan haram tetapi oleh ketidakcekapan perkhidmatan itu sendiri” katanya.

Dalam perkembangan sama Charles berkata, hampir setiap hari masalah gangguan bekalan elektrik berlaku di seluruh Sabah termasuk di kawasan tiada penempatan setinggan.

Ini menunjukkan bahawa isu gangguan serta penyambungan haram perlu ditakrifkan secara berbeza bagi mencari jalan penyelesaiannya.

“Sesudah menyediakan perkhidmatan Meter Prabayar ini, adakah SESB dapat memberi jaminan masalah gangguan bekalan elektrik tidak akan berlaku lagi di masa akan datang,” katanya.