KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) akan melantik sebuah syarikat berlesen untuk mengagihkan bekalan elektrik secara bebas ke penempatan setinggan di seluruh Sabah.
Pengurus Besar Pembahagian SESB, Ir. Addie Ahmad berkata, di peringkat awal projek perintis membekalkan elektrik menggunakan konsep meter prabayar ini telah dimulakan di Kampung Forest, Sandakan pada hujung tahun lalu.
“Syarikat yang dilantik akan membekalkan elekrik kepada penempatan setinggan melalui talian utama yang disediakan oleh SESB.
“Namun, syarikat tersebut juga bertanggungjawab untuk membetulkan tiang-tiang elektrik di kawasan setinggan, menggantikan kabel elektrik yang mengalami kerosakan dan membuat pendawaian di dalam rumah setinggan agar lebih teratur,” katanya.
Addie berkata, projek perintis ini membabitkan 800 rumah setinggan di Kampung Forest dan jika ia berjaya dan menerima sambutan yang baik dalam kalangan pengguna, bekalan elektrik melalui konsep meter prabayar ini akan diperluaskan ke kawasan setinggan lain di Sabah.
Apabila projek perintis ini tamat, SESB akan mengetahui hasil dan keberkesanan bekalan elektrik secara bebas pada bulan April.