Penjawat awam di tahan SPRM beri rasuah tarik laporan polis

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang penjawat awam di Beluran, selepas memberi wang rasuah kepada seorang pengadu sebagai dorongan untuk menarik satu laporan polis terhadapnya.

Sumber berkata, suspek yang berusia sekitar 40 tahun telah disiasat polis mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana terlibat dengan kes samun berkumpulan.

“Pada 30 Oktober 2021, suspek kemudian menawar serta memberikan wang RM7,000 kepada pengadu sebagai dorongan supaya laporan polis berkenaan ditarik balik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy Y. Subbiah ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.

Suspek ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Cawangan Sandakan hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 16(b)(A) Akta SPRM 2009.

Suspek bagaimanapun telah dibebaskan dengan jaminan SPRM sebanyak RM10,000 beserta deposit RM1,000 dengan seorang penjamin dan suspek dijadualkan akan dituduh di Mahkamah Khas Rasuah Sandakan dalam masa terdekat.