Tuduhan Shafie mengenai ADUN Warisan ‘dibeli’ adalah fitnah – Nizam

KOTA KINABALU: Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, menyifatkan dakwaan pembelian wakil rakyat Parti Warisan (WARISAN) adalah sebagai satu fitnah semata-mata.

Menurutnya, Presiden WARISAN Datuk Seri Mohd Shafie Apdal baru-baru   ini yang membangkitkan ketika berbahas di Dewan Rakyat, kelmarin adalah politik murahan yang cuba merosakkan imej negatif terhadap kerajaan negeri pimpinan Hajiji.

“Kita berpendapat ucapan Shafie di Parlimen baru-baru ini yang membuat tuduhan dengan cerita dongeng bahawa wakil rakyatnya keluar parti kerana dibeli Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengesahkan sikap beliau sendiri sebagai seorang pemimpin yang hanya suka berpolemik dan menimbulkan ketidakstabilan politik di Sabah.

“Jika Presiden WARISAN itu mempunyai bukti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) beliau dibeli sepertimana dakwaannya, maka laporlah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), bukannya hanya membuat dakwaan retorik kerana kelemahannya sendiri lalu menyalahkan orang lain,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Nizam merupakan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri berkata Mohd Shafie seharusnya menyalahkan diri sendiri dan parti yang dipimpinnya apabila beberapa ADUN WARISAN keluar parti.

Katanya, ADUN WARISAN yang keluar parti bertindak sedemikian atas sebab parti itu tidak lagi sesuai menjadi landasan untuk memperjuangkan hak dan membela rakyat.

“Ini kerana pemimpin utama parti itu lebih gemar menimbulkan polemik dan ketidakstabilan politik yang hanya menyusahkan rakyat serta mengganggu agenda kerajaan membangunkan negeri ini,” katanya.

Nizam berkata, Mohd Shafie perlu bermuhasabah diri bahawa kepemimpinan beliau bukan sahaja ditolak oleh ADUN partinya sendiri, malah keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) November lalu turut menyaksikan parti itu semakin ditolak rakyat.

Katanya, ia berdasarkan kegagalan WARISAN mempertahankan lima kawasan Parlimen yang disandangnya sejak PRU14, termasuk kekalahan teruk Timbalan Presiden dan Ketua Penerangan parti itu.

Mohd Shafie sebelum ini mendakwa tiga ADUN WARISAN, iaitu Norazlinah Arif (Kunak), Mohammad Mohamarin (Banggi) dan Chong Chen Bin (Tanjung Kapor) keluar parti kerana ‘dibeli’ oleh Hajiji.

Berikutan itu, Mohd Shafie mendesak agar undang-undang anti lompat parti diwujudkan segera di Sabah bagi mengatasi tindakan melompat parti yang sering berlaku di negeri ini.