Menoktahkan kemiskinan: Ewon mahu UPKO tubuh 1 koperasi, 1 persatuan di setiap Bahagian

KOTA MARUDU: Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) mahu semua Bahagian parti itu menjadi sebahagian daripada penyelesaian insiden kemiskinan di daerah masing-masing dengan menubuhkan sekurang-kurangnya sebuah koperasi dan persatuan.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, penubuhan koperasi dan persatuan boleh menjadi platform pembangunan keusahawanan dan kemahiran rakyat di kawasan masing-masing.

Ewon Benedick

“UPKO Zon A iaitu Kudat, Kota Marudu dan Kota Belud merasa dukacita kerana daerah ini dilabel sebagai daerah-daerah termiskin di Sabah dan Malaysia. Justeru, UPKO perlu tampil menjadi sebahagian daripada penyelesaian untuk mengubah status ini melalui gerakan koperasi dan persatuan di bahagian masing-masing.

“UPKO mesti tampil berkesan bukan hanya untuk menyuarakan masalah-masalah rakyat, tetapi menjadi sebahagian daripada penyelesaian. Melalui gerakan koperasi, kita boleh menjana aktiviti keusahawanan rakyat. Melalui gerakan persatuan, kita boleh menjana aktiviti pendidikan dan kemahiran rakyat,” katanya.

Ewon berkata demikian ketika berucap di Konvensyen UPKO Zon A, di Dewan Terbuka Pekan Tandek, di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Presiden Kehormat UPKO yang juga Ahli Parlimen Tuaran Datuk Madius Tangau, Ketua Bahagian UPKO Kudat Junsim Rumunzing, Ketua Bahagian UPKO Kota Marudu Jamil Majingkin dan Pengerusi Penganjur Carlye Lajimin.

Ewon berkata, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia (KUSKOP) melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) telah menyediakan cadangan penstabilan harga melalui gerakan koperasi bagi memastikan harga barangan asas yang dijual di koperasi di bandar sama dengan harga yang dijual di koperasi di pedalaman melalui subsidi pengangkutan kepada koperasi pengedar.

“Saya telah bangkitkan perkara ini di kabinet dan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) telah meminta saya untuk mengemukakan butirannya. Maka Kementerian saya telah mengadakan beberapa perbincangan dan butirannya saya akan bawa kepada Perdana Menteri dan kabinet yang akan datang.

“Selain itu, melalui koperasi juga kita boleh membantu pemasaran pelbagai produk dan perkhidmatan ahli-ahlinya. Ini termasuklah agar koperasi menceburi sektor keterjaminan makanan seperti penanaman padi dan tanaman lain atau ternakan yang menyumbang kepada keterjaminan makanan negara.

“Kita mempunyai aset iaitu tanah. Negara kita masih bergantung kepada bekalan import beras. Jika negara pengeluar beras ini menghentikan eksport ke negara kita, kita boleh berhadapan dengan krisis bekalan beras. Maka itu, koperasi boleh ditubuhkan untuk menceburi bidang keterjaminan makanan termasuk penanaman padi bagi menjamin bekalan beras dalam negara,” katanya.

Ewon turut menyatakan bahawa Belanjawan MADANI 2024 turut memperuntukkan RM1 bilion untuk program komuniti MADANI dan RM6.8 bilion untuk program kemahiran bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

“Saya ingin melihat Bahagian-Bahagian parti dapat menubuhkan sekurang-kurangnya satu persatuan bagi menjana aktiviti ekonomi, kemahiran dan pendidikan rakyat di bahagian masing-masing. Tugas saya adalah memudahcara agar setiap Bahagian boleh membawa kemudahan yang tersedia dalam belanjawan sampai kepada komuniti termasuklah dalam pembangunan keusahawanan belia.

“Sebagai Presiden UPKO, saya memberi fokus kepada dua bidang utama iaitu pembangunan keusahawanan dan kepimpinan. Kita telah melantik pemimpin-pemimpin parti yang mempunyai latar belakang kuat ke pelbagai agensi kerajaan bagi membangunkan usahawan-usahawan Sabah dan seterusnya membina perjanjian persefahaman (MoU) dengan agensi kerajaan untuk memastikan agenda pembiayaan pendidikan kepada para pelajar yang memerlukan dapat diberikan,” kata Ewon.