MEMBAKUT: Sebuah Mini Kompleks Sukan perlu dibina di daerah ini selaras dengan perancangan kawasan itu sebagai daerah baharu Membakut.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Arifin Arif berkata, kemudahan itu merupakan antara cadangan penambahbaikkan serta langkah yang wajar memandangkan Membakut kini menjadi sebuah daerah penuh.

Katanya, Mini Kompleks Sukan ini bukan sahaja dapat memenuhi aspirasi golongan belia malah mampu merealisasikan pelbagai aktiviti sukan serta riadah, seperti daerah lain di negeri ini.
“Kita sangat berharap agar daerah Membakut dapat menerima sekurang-kurangnya sebuah mini kompleks sukan daripada kerajaan termasuk beberapa kemudahan sukan yang lain di masa depan.

“Kompleks Sukan ini nanti merupakan antara rancangan selepas Membakut menjadi sebuah daerah penuh serta akan dapat direalisasikan,” katanya ketika merasmikan Pertandingan Bola Sepak 9 Sebelah Piala Gabungan Persatuan Belia Pedalaman Bawah di Padang Sekolah Kebangsaan (SK) Pengiran Jaya, di sini semalam.

Arifin merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Membakut berkata, kewujudan mini kompleks sukan ini sudah tentu akan memberikan manfaat jangka masa panjang sekali gus menjadi lokasi penganjuran sukan di peringkat sekolah.