Meja Ekonomi Tanjung Keramat lonjak peniaga tempatan

PUTATAN: Inisiatif Meja Ekonomi Tanjung Keramat dilihat mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan peniaga kecil dan usahawan setempat sekali gus memperkukuh ekonomi komuniti di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat, Shah Alfie Yahya berkata, inisiatif itu merupakan antara teras manifesto beliau dalam usaha memperkasa sektor keusahawanan tempatan.

Menurutnya, pelaksanaan Meja Ekonomi Tanjung Keramat bukan sahaja membantu meningkatkan pendapatan peniaga, malah berpotensi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan serta merancakkan ekonomi di Putatan.

“Melalui inisiatif ini, kita mahu memberi sokongan kepada peniaga kecil, usahawan mikro dan peniaga tempatan supaya mereka dapat terus berkembang dan memperkukuh ekonomi komuniti,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan sesi walkabout bertemu peniaga di Bazar Aeropod, Kota Kinabalu, pada Isnin.

Tambahnya, kebanyakan peniaga yang ditemui terdiri daripada pengusaha makanan dan minuman (F&B) yang memanfaatkan bazar Ramadan sebagai platform mempromosikan produk mereka.

“Bazar Ramadan bukan sekadar tempat mendapatkan juadah berbuka puasa, tetapi turut menjadi ruang ekonomi penting kepada penduduk setempat.

“Terdapat juga peniaga dari Tanjung Keramat yang mengambil peluang meningkatkan pendapatan melalui perniagaan kecil sepanjang Ramadan,” katanya.

Jelas beliau, pelbagai inisiatif di bawah Meja Ekonomi Tanjung Keramat akan terus diperluaskan termasuk membantu peniaga mendapatkan akses kepada bantuan dan sokongan perniagaan daripada kerajaan negeri dari semasa ke semasa.