Bapa saksikan anak dibaham buaya di depan mata

KINABATANGAN: Seorang bapa berdepan detik memilukan apabila menyaksikan anaknya dibaham buaya dalam kejadian di Kampung Segaliud, Kinabatangan, pada petang semalam.

Mangsa, Mohd Rayyan Abdullah, 28, dilaporkan turun ke sungai bersama bapanya untuk menjala udang sebelum disambar reptilia berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kinabatangan, Hairi Otuh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 8.22 malam.

Menurutnya, pasukan bomba mengambil masa kira-kira 48 minit untuk tiba di lokasi yang terletak kira-kira 30 kilometer dari balai.

“Berdasarkan maklumat awal, bapa mangsa yang berada di lokasi memaklumkan bahawa dia melihat sendiri anaknya dibaham buaya di depan matanya,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, operasi mencari dan menyelamat sedang giat dijalankan oleh anggota dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

“Setakat ini, mangsa masih belum ditemui dan operasi akan diteruskan dari semasa ke semasa,” ujarnya.