KUALA LUMPUR: Penceramah agama, Marhamah Rosli, yang dilantik sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), mengangkat sumpah sebagai Senator Dewan Negara pada petang ini.
Istiadat angkat sumpah itu berlangsung di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah, sekali gus mengesahkan pelantikan rasmi Marhamah ke dalam Dewan Negara.
Dalam ucapan alu-aluannya, Awang Bemee memaklumkan bahawa pelantikan berkenaan dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong selaras dengan Perkara 45(1)(b) Perlembagaan Persekutuan.
Menurut beliau, tempoh lantikan Marhamah berkuat kuasa mulai hari ini sehingga 15 Disember 2028, sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara 45(3) dan 45(3A) Perlembagaan Persekutuan.
“Bagi pihak Dewan Negara, saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Senator atas pelantikan ini. Selamat menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan dan selamat berkhidmat,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan perubahan dalam barisan Kabinet Kerajaan MADANI, yang menyaksikan pertukaran beberapa portfolio menteri dan timbalan menteri, selain pelantikan muka baharu bagi mengukuhkan pentadbiran kerajaan.
