‘Undur setapak demi kestabilan’ — Aksyah pertahan keputusan Hajiji

KOTA KINABALU: Keputusan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) merangkap Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, untuk mempertimbangkan agar GRS tidak meletakkan calon dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag disifatkan sebagai langkah strategik demi mengekalkan kestabilan politik Sabah.

Aktivis politik pro-GRS, Aksyah Nasrah, berkata pendirian itu mencerminkan kematangan politik kepimpinan negeri, khususnya ketika Kerajaan Perpaduan Sabah yang dibentuk bersama Barisan Nasional (BN) masih berada pada peringkat awal pentadbiran.

Menurutnya, keutamaan kerajaan ketika ini adalah memastikan kesepakatan antara rakan gabungan, dan bukan mencetuskan persaingan politik yang berpotensi menggugat kestabilan pentadbiran negeri.

“Keputusan untuk tidak bertanding bukan tanda kelemahan, sebaliknya satu pendekatan berhemah bagi memberi ruang kepada kerajaan perpaduan berfungsi dengan baik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Aksyah berkata langkah memberi laluan kepada BN dalam PRK berkenaan bersifat sementara dan bergantung kepada situasi politik semasa.

“Serta tidak boleh dianggap sebagai pengunduran mutlak GRS daripada persaingan politik di kawasan tersebut,” katanya.

Beliau turut menegaskan fokus utama kerajaan negeri kini adalah pelaksanaan agenda Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0, termasuk pembentangan dan pelaksanaan Belanjawan Sabah 2026, yang menurutnya memerlukan suasana politik yang tenang dan stabil.