LABUAN: Seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun ditahan selepas dipercayai menyimpan 750 liter petrol tanpa permit dalam serbuan Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) di sebuah jeti tidak berdaftar di Kampung Sungai Keling, di sini, semalam.
Dalam operasi kira-kira jam 2 petang itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Labuan menemui 20 gelen serta dua tong berisi cecair disyaki petrol yang disimpan tanpa kebenaran.
Pengarah KPDN Labuan, Junaidah Arbain berkata, serbuan dijalankan hasil maklumat risikan berhubung aktiviti penyimpanan barang kawalan berjadual di kawasan berkenaan.
“Hasil pemeriksaan mendapati sebanyak 750 liter cecair disyaki petrol disimpan tanpa permit atau kebenaran bertulis daripada KPDN.
“Semua barang kes disita dan seorang lelaki tempatan yang berada di lokasi ditahan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM2,940 dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
Katanya, KPDN akan terus mempertingkatkan operasi menerusi Ops Tiris 4.0 bagi memastikan aktiviti penyelewengan barang kawalan dan ketirisan subsidi dapat dibanteras secara berkesan.
