Wanita warga emas cedera, rumah dan tiga kenderaan terbakar

TENOM: Seorang wanita warga emas cedera ringan selepas rumahnya di Kampung Chinta Mata Bukit hampir musnah dalam kebakaran awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, sebuah rumah jenis kekal terbakar hampir 80 peratus, manakala tiga kenderaan termasuk sebuah kereta kompak dan dua van hangus sepenuhnya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tenom, Mudi Pengiran berkata, kebakaran dipercayai bermula daripada sebuah kenderaan sebelum api merebak dengan pantas ke rumah berkenaan.

Menurutnya, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 3 pagi sebelum sembilan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian sejauh lapan kilometer dari balai.

“Pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 3.08 pagi dan mendapati api sedang marak membakar rumah berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran dengan dua pancutan air daripada tangki jentera, dan kebakaran berjaya dikawal pada jam 4.18 pagi sebelum operasi ditamatkan jam 4.38 pagi.

Beliau berkata, mangsa seorang wanita warga emas berusia 74 tahun mengalami kecederaan ringan di bahagian kaki kanan dan dihantar ke Hospital Tenom untuk rawatan lanjut.

“Punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.