KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menghantar pulang seramai 218 pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Indonesia ke negara asal menerusi Program Pemindahan Tahanan Asing pada 16 Disember lalu.
Pengarah Imigresen Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussoff, berkata kesemua tahanan dipindahkan dari Depot Imigresen Tawau ke Pelabuhan Nunukan, Indonesia melalui Terminal Feri Tawau menggunakan kapal Francis Express dan Purnama Express.
Menurutnya, kumpulan PATI itu terdiri daripada 184 lelaki dewasa, 24 wanita dewasa, lapan kanak-kanak lelaki dan dua kanak-kanak perempuan berusia antara satu hingga 80 tahun, dengan semua kanak-kanak diiringi ibu bapa atau penjaga masing-masing.
“Sehingga kini, seramai 2,375 warganegara Indonesia telah dihantar pulang sepanjang tahun ini, menjadikan jumlah keseluruhan PATI yang dipindahkan dari Sabah seramai 10,431 orang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata semua tahanan telah selesai menjalani hukuman mengikut peruntukan undang-undang serta memiliki Sijil Perjalanan Laksana Paspor (SPLP) yang sah, yang melayakkan mereka mengikuti proses pemindahan ke negara asal.
Sitti Saleha berkata kekerapan program pemindahan bergantung kepada tempoh pengeluaran SPLP oleh Konsulat Jeneral Republik Indonesia di Sabah.
Dalam pada itu, beliau menggesa majikan menyertai program pendataan digital warga asing yang sedang dilaksanakan Kerajaan Negeri Sabah, khususnya bagi sektor perladangan, bagi mengurus dan merekod kehadiran pekerja asing.
JIM Sabah turut memberi amaran akan mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap majikan yang melindungi atau menggaji pekerja asing tanpa dokumen sah, dengan hukuman termasuk denda sehingga RM50,000, penjara dan sebatan mengikut Akta Imigresen 1959/63.
