MARA serah siasatan kepada SPRM – Azizah

KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan MARA Corporation Sdn Bhd (MARA Corp) akan bekerjasama sepenuhnya dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan mengenai isu integriti membabitkan beberapa pegawai kanan agensi berkenaan.

Pengerusi MARA, Datuk Azizah Mohd Dun, berkata MARA turut memberi jaminan akan sentiasa komited dalam memastikan integriti organisasi ini terpelihara dan tidak sesekali berkompromi dengan sebarang salah guna kuasa serta penyelewengan membabitkan kepentingan awam.

“Pengurusan MARA dan MARA Corp sedia memberikan kerjasama dan menyerahkan sepenuhnya kes ini untuk siasatan pihak SPRM,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Azizah berkata, MARA mengesahkan menerima kunjungan sepasukan pegawai daripada SPRM Putrajaya hari ini bagi memulakan siasatan ke atas pegawai MARA yang dikaitkan dengan dakwaan isu integriti.

BH hari ini melaporkan, SPRM menyerbu sekurang-kurang tiga pejabat berkaitan MARA di ibu negara bagi membantu siasatan berhubung isu integriti membabitkan beberapa pegawai kanan agensi berkenaan.

Beberapa pegawai SPRM difahamkan hadir di pejabat berkenaan bermula jam 9 pagi tadi dipercayai untuk mengambil beberapa dokumen berkaitan yang boleh membantu siasatan kes berkenaan.

Selain ibu pejabat MARA di Jalan Mara, pegawai SPRM juga dikatakan ke syarikat pelaburan MARA dan sebuah syarikat setiausaha korporat serta syarikat perkhidmatan penyumberan luar korporat kepada agensi itu, di sini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi BH, mengesahkan kehadiran pegawai berkenaan, namun beliau enggan mengulas lanjut.

SPRM dalam satu kenyataan kelmarin menyatakan pihaknya memandang serius dakwaan wujudnya isu integriti membabitkan beberapa pegawai kanan yang sedang disiasat secara dalaman oleh MARA.