Majlis ibadah korban cetus kluster baharu – Masidi

KOTA KINABALU: Aktiviti berkumpul oleh masyarakat untuk majlis ibadah korban di Masjid Timbua dipercayai punca kepada Kluster Timbua di Ranau.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, kes indeks merupakan penghidap kanser, lelaki, 52, yang dikesan positif Covid-19 (RTK-Ag) pada 23 Julai 2021 dalam saringan pra-kemasukan ke wad.

“Turut dikesan positif, penjaga kepada kes indeks di dalam wad melalui RTK-Ag. Saringan kontak rapat dijalankan pada 27 hingga 29 Julai 2021 mendapati pertambahan kes positif dalam kalangan kontak rapat dan diperluaskan hingga 10 Ogos 2021.

“Daripada 239 kontak yang disaring, 48 dikesan positif termasuk satu kes baharu hari ini,” katanya dalam kenyataan media malam tadi.

Masidi yang juga Jurucakap Covid-19 Sabah berkata, 95 kontak didapati negatif dan 97 kontak lagi masih menunggu keputusan ujian saringan.

“Selain Kg. Timbua, jumlah kes positif melibatkan beberapa lokaliti lain antaranya, di Kg. Lembah Permai, Kg. Kembiroi, Kg. Merungin 2 dan Kuarters Ibu Pejabat Polis Ranau,” katanya.