Lelaki tempatan bersama lebih 36,000 batang rokok ditahan

LAHAD DATU: Polis menahan seorang lelaki warga tempatan serta merampas lebih 36,000 batang rokok dipercayai diseludup masuk dari negara jiran dalam satu serbuan di hadapan Pasar Ikan, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad berkata, pemeriksaan awal mendapati suspek berumur 49 tahun itu dipercayai berada dalam salah sebuah bot terbabit menerusi  satu serbuan dalam ‘Op Kontraban’ pasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah.

Suspek rokok seludup di Lahad Datu: Gambar IPD Lahad Datu.

Katanya, dalam kejadian itu, pasukan polis mengesan dua bot yang berlabuh di tepi Ko Nelayan di lokasi tersebut dalam keadaan yang mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan lanjut, polis menemui sebanyak 36,980 batang rokok yang dipercayai tidak mempunyai pengesahan bercukai daripada Jabatan Kastam Malaysia.

“Rokok ini dipercayai diseludup masuk dari negara jiran untuk pasaran di sekitar berhampiran Lahad Datu serta berdekatan dengannya,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.

Rohan Shah berkata, suspek bersama semua barang rampasan termasuk rokok dan dua buah bot yang dianggarkan bernilai RM30,000 itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu untuk tindakan lanjut.

“Suspek terbabit akan disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967. Kesalahan itu boleh dikenakan denda tidak kurang 10 ganda nilai cukai atau RM10,000 yang mana lebih tinggi atau tidak lebih daripada 20 kali ganda,” katanya.

Menurutnya, suspek juga boleh dikenakan denda sebanyak RM50,000 atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.