KLUANG: Kementerian Kesihatan (KKM) meminta semua majikan di negara ini agar menerima pakai salinan sijil digital Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO), atau surat pelepasan kuarantin (RO) bagi mengelakkan kesesakan di Pusat Penilaian COVID-19 (CAC).
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata ia susulan ramai pesakit datang ke CAC akibat majikan mereka tidak menerima sijil digital, sebaliknya meminta notis secara bertulis.
Beliau berkata pelaporan kepada Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) Kebangsaan mendapati 30 hingga 50 peratus kes yang hadir ke CAC, bukan untuk penilaian bagi kes kesihatan merosot semasa menjalani pemantauan di rumah.
“Sebanyak 90 peratus daripadanya adalah untuk discaj bagi dapatkan notis bertulis (HSO). Ini menyebabkan penambahan beban tugas kepada staf KKM. Mereka sepatutnya membuat penilaian untuk pesakit bukan tulis notis HSO.
“Selepas tempoh isolasi berakhir, pesakit perlu melakukan salinan paparan skrin sijil digital HSO untuk makluman lanjut pihak majikan dan pihak berkaitaan,” katanya pada sidang media di CAC Klinik Kesihatan Simpang Renggam di sini, hari ini.
Khairy berkata orang ramai boleh membuat aduan kepada KKM jika majikan mereka tidak menerima sijil digital HSO atau RO.
Bercakap mengenai CAC secara maya, Khairy berkata sehingga 23 Feb, ia telah memantau 361,283 kes aktif di rumah, dengan mengesan kemerosotan keadaan pesakit COVID-19 yang menjalani pemantauan rumah di seluruh negara melalui saringan kesihatan.
“Bukan suka-suka kita minta untuk menjawab soalan. Bila mereka jawab soalan itu, kita mempunyai sistem untuk melihat kepada gejala bertanda amaran. Kalau tanda amaran merisaukan, kita akan minta mereka hadir secara fizikal ke CAC,” katanya.
Justeru itu, beliau meminta individu yang menjalani isolasi di rumah supaya menjawab soalan pada aplikasi MySejahtera setiap dua kali sehari, berikutan purata kes aktif yang menjawab soalan adalah hanya 55 peratus meskipun KKM membuat sasaran sekurang-kurangnya 70 peratus.
Katanya ia penting agar KKM dapat mengesan kes-kes berisiko tinggi yang memerlukan rawatan segera sekali gus mengurangkan kes kematian di luar hospital (BID).
Sementara itu, Khairy memaklumkan sejak 13 hingga 19 Feb, kes menjalani isolasi di rumah yang dirujuk kepada PKRC adalah 0.4 peratus manakala dirujuk ke hospital pula adalah 0.2 peratus.
— BERNAMA