BATU PAHAT: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata selain Tun Dr Mahathir Mohamad, peguamnya juga sudah menghantar surat tuntutan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata semua pihak boleh menyemak dengan Pengerusi Pejuang Tanah Air (PEJUANG) dan Presiden Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) berkenaan sama ada beliau berbohong atau sebaliknya.
“Saya telah mengarahkan peguam saya untuk hantar ‘letter of demand’ (LOD) (surat tuntutan) kepada Tun Mahathir dan Muhyiddin.
“Dua surat tuntutan dihantar minggu lepas dan jika individu yang mengatakan bahawa saya tidak menghantar (surat tuntutan), maka peguam saya telah menghantar surat itu daripada firma guamannya.
“Saya minta orang itu tanya sendiri kepada dua pemimpin itu sama ada saya bohong atau sudah terima LOD,” katanya dalam laporan Berita Harian pada sidang media selepas program Presiden UMNO bersama calon dan pengundi di DUN Parit Raja, dekat sini hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional tidak memperincikan tuntutan berkenaan, namun dipercayai merujuk kenyataan Muhyiddin awal bulan ini ketika berceramah di Felda Tenggaroh 3, Mersing, bahawa Ahmad Zahid datang ke rumahnya membawa fail kes mahkamah selepas beliau dilantik menjadi Perdana Menteri pada 2020.
Sebelum itu, Ahmad Zahid juga mengarahkan peguamnya untuk menghantar surat tuntutan kepada Dr Mahathir menuntut Dr Mahathir memohon maaf atas tuduhan beliau meminta bantuan bekas Perdana Menteri itu bagi menghentikan siasatan kes rasuah terhadap dirinya.
Ahmad Zahid berkata demikian ketika ditanya mengenai mengenai tular di media sosial bahawa seorang individu mendakwa Ahmad Zahid berbohong dan sanggup menjadi saksi bagi pihak Dr Mahathir sekiranya kes itu dibawa ke mahkamah.
Beliau sebaliknya meminta mana-mana pemimpin untuk tampil menyatakan perkara sebenar dan tidak menggunakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebagai medan memburukkan individu.
“Tetapi, saya minta kalau individu berkenaan bercakap benar untuk sumpah laknat. Saya tahu saya tak pernah jumpa dia bawa fail tuduhan kes mahkamah.
“Taktik lama dengan memburukkan individu telah ditolak oleh rakyat, jangan guna kaedah lama untuk tundukkan pihak musuh,” katanya.