PETALING JAYA: Bekas Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Ariff Md Yusof menyifatkan penggunaan bahasa kesat yang dilakukan Ahli Parlimen dari Sabah sebagai “titik terendah” sepanjang perkhidmatannya.
Memetik laporan FMT dengan mengimbau semula insiden itu dalam memoirnya, “Parliament, Unexpected”, Ariff berkata, beliau terpaksa memujuk Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin, mengemukakan permohonan maaf secara “penuh, terbuka dan ikhlas” selepas melemparkan ’empat huruf’ kesat itu di Dewan Rakyat.
Ariff berkata, Ahli Parlimen Puncak Borneo Willie Mongin perlu dipersalahkan susulan melakukan provokasi terhadap Bung ketika perbahasan berhubung Rang Undang-Undang Jualan 2018.
Mongin ada menanyakan kepada Bung Moktar adakah beliau berkunjung ke kasino.
Bung ketika memberi reaksi, berkata “Apa ini? Biadap. Ini kurang ajar, tarik balik, Yang Berhormat tidak layak duduk sini, samseng. You nak gaduh dengan saya? F*** you.”
Ariff berkata, Bung kemudian memohon maaf kerana menggunakan kata kesat itu, sambil ada sesetengah pihak beranggapan permohonan maaf itu sekadar meredakan keadaan. Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin yang ketika itu Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, memberitahunya sejumlah 56 Ahli Parlimen tidak gembira Bung dilepaskan begitu mudah.
Katanya, Ahli Parlimen berkenaan menulis surat menuntut tindakan lebih tegas dikenakan terhadap Bung atau sekurang-kurangnya dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan.
“Jadi, saya mengambil keputusan memujuk Ahli Parlimen Kinabatangan mengemukakan permohonan maaf penuh, terbuka dan ikhlas dalam Dewan Rakyat…dan perkara itu selesai.
“Tiada lagi ahli lain mahu mencemarkan Dewan menggunakan perkataan itu,” katanya.