SANDAKAN : Kaunter pemeriksaan Imigresen di balai pelepasan dan ketibaan Lapangan Terbang Sandakan akan ditambah.
Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee, berkata penambahan kaunter itu bagi memudahkan urusan harian di lapangan terbang berkenaan.
Jelasnya, ketika ini hanya dua kaunter Imigresen dibuka di bahagian ketibaan dan ia menyebabkan penumpang perlu berbaris panjang untuk pemeriksaan sebelum berlepas.
“Kaunter ini juga tidak mencukupi termasuk di kawasan balai ketibaan Lapangan Terbang Sandakan,” tambahnya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.
Vivian berkata, sebelum ini Pejabat Parlimen Sandakan telah menulis surat kepada pihak Malaysia Airport Holding Berhad (Sandakan) bagi tujuan permohonan untuk menambah kaunter pemeriksaan Imigresen.
Beliau merakamkan penghargaan kepada pihak Malaysia Airport Holding Berhad (Sandakan) atas maklumbalas menambah dua kaunter di balai pelepasan dan empat lagi di balai ketibaan.
Katanya ia sekaligus menjadikan keseluruhan terdapat empat kaunter pemeriksaan Imigresen di bahagian pelepasan dan lapan kaunter di balai ketibaan.
Jelasnya, kerja-kerja penambahan kaunter tersebut akan bermula dalam tempoh dua bulan ini.
“Ini juga selaras dengan keperluan semasa dan sebahagian dalam pelan kita untuk mendapatkan lebih banyak penerbangan domestik dan antarabangsa ke Sandakan,” tambah Vivian.