BEAUFORT : Ketua Pemuda GRS Beaufort, Mohd. Shahril Osin mengecam sekeras-kerasnya tindakan sekumpulan mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) terlibat dalam penganjuran Perhimpunan Aman Gempur Rasuah Sabah 2.0, berlangsung di ibu negeri pada 21 dan 22 Jun lalu.
Menurutnya, aksi demonstrasi diketuai Fadhil Kasim bersama beberapa rakannya mewakili kumpulan Suara Mahasiswa UMS itu bukan sahaja melanggar nilai sopan santun budaya Sabah, malah memperlihatkan kebiadaban yang keterlaluan dan tidak boleh diterima sama sekali.
“Lebih menjijikkan, perhimpunan itu disulami tindakan provokatif termasuk aksi membakar lukisan karikatur yang menyerupai wajah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Ini bukan sahaja biadab, malah satu penghinaan terbuka kepada pemimpin negara dan mencerminkan kegagalan penganjur untuk beradab dalam menyampaikan pandangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Shahril merupakan Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Klias berkata, tindakan sedemikian mencemarkan nama baik UMS dan seharusnya dikenakan tindakan tegas oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), pihak pentadbiran UMS dan juga Kementerian Pengajian Tinggi.
“Tindakan membakar simbol pemimpin negara dalam perhimpunan kononnya atas nama antirasuah adalah sangat keterlaluan dan tidak wajar dibiarkan tanpa hukuman,” tegasnya.
Beliau turut menyelar keras penglibatan pemimpin pembangkang yang dilihat mengambil kesempatan politik.
“Ia sekali gus menunggang golongan mahasiswa demi kepentingan politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-17.
Katanya, budaya luar dibawa masuk ke bumi Sabah ini semakin keterlaluan.
“Aksi membakar, provokasi dan kekacauan bukan budaya orang Sabah yang terkenal dengan adab, hormat dan kesederhanaan.
“Malah, tindakan segelintir mahasiswa – yang bukan pun anak jati negeri ini – jelas mengundang perpecahan, mengganggu keharmonian dan mencemarkan nama baik UMS,” ujarnya.