PENAMPANG : Sejumlah RM7.5 juta disalurkan kepada 1,809 usahawan di Sabah sejak Skim Pembiayaan Usahawan Tamu (SPUT) diperkenalkan pada tahun 2023.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, skim itu adalah khusus untuk golongan usahawan mikro khususnya penjaja dan peniaga kecil yang aktif berniaga di pasar-pasar dan tamu-tamu seluruh Sabah.
“Ini jelas menunjukkan komitmen TEKUN Nasional dalam memperkasa ekonomi rakyat melalui sokongan pembiayaan mikro.
“Ini khususnya kepada komuniti luar bandar dan usahawan kecil yang memerlukan suntikan modal untuk mengembangkan perniagaan mereka,” katanya.
Ewon berkata, sejak TEKUN Nasional ditubuhkan pada 1998 sehingga April 2025, TEKUN telah menyalurkan pembiayaan berjumlah RM10.31 bilion kepada 598,969 usahawan.
“Sehingga 30 April 2025, sebanyak RM1.18 billion telah disalurkan kepada 65,939 usahawan TEKUN di seluruh Sabah.
“Bagi kawasan parlimen Penampang, TEKUN Nasional telah menyalurkan sebanyak RM36 juta kepada 1,730 usahawan dalam tempoh yang sama,” katanya.