UMS Buat Laporan Polis, Karikatur Perdana Menteri Dibakar

KOTA KINABALU : Universiti Malaysia Sabah (UMS) memandang serius tindakan peserta Perarakan Gempur Rasuah 2.0 membakar karikatur Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tular di media sosial baru-baru ini.

Selain bertentangan dengan norma-norma perhimpunan aman, pihak UMS melihat tindakan tersebut sebagai tindakan tidak beradab, kurang matang, sekaligus tidak mencerminkan intelek pelajar institusi pengajian tinggi.

“UMS juga menolak sekeras-kerasnya sebarang tindakan yang berisiko mendatangkan mudarat bukan sahaja kepada peserta malah kepada orang awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, pihakny menegaskan bahawa UMS tidak terlibat sama ada secara langsung atau pun tidak langsung dengan insiden ini.

Justeru, pihak pengurusan universiti akan membuat satu laporan Polis berhubung insiden ini dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk melakukan siasatan lanjut.

Sementara itu, UMS juga amat kesal dengan pernyataan kumpulan terbabit yang mempersoalkan pelantikan Tun Musa Aman sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah kerana pelantikan tersebut dibuat atas perkenan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong yang seharusnya dihormati.