KOTA KINABALU: Program “Luncheon Talk Alumni 2023” anjuran Pusat Alumni Universiti Malaysia Sabah (UMS) merupakan platform terbaik dalam mendorong alumni dan bakal alumni agar terus mendampingi universiti secara berterusan.
Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, ini penting agar alumni UMS yang mencecah lebih 80 ribu secara tidak langsung dapat memberi sumbangan demi kelangsungan pembangunan dan pemerkasaan UMS.
“Program seumpama ini juga amat signifikan dalam usaha membantu memperkukuhkan interaksi dan penglibatan alumni bersama alma mater.
“Selain itu, kita juga berharap dengan adanya majlis seperti ini dapat menggalakkan organisasi, pelajar atau individu terutamanya di kalangan alumni dan staf UMS untuk turut menyumbang dan melibatkan diri dalam usaha melestarikan program-program ini,” katanya.
Beliau turut memaklumkan matlamat penganjuran majlis ini adalah untuk meraikan staf universiti yang telah menyumbang ke Tabung Sahabat Alumni melalui potongan gaji Skim Dana Alumni dan mengumpulkan dana sumbangan dalam usaha Pusat Alumni melestarikan program-program pendanaan, penjenamaan dan kesejahteraan alumni.
“Majlis ini adalah sebagai permulaan dalam menyuntik semangat kita semua untuk mula menyumbang serendah RM1 ke dalam Tabung Sahabat Alumni melalui ‘Kempen 1 Alumni 1 RM’.
“Sesungguhnya inisiatif pelaksanaan kempen ini boleh meningkatkan rasa ambil berat dan ambil peduli di kalangan alumni dan bakal alumni, mewujudkan rasa tanggungjawab kepada komuniti serta memupuk rasa keprihatinan di kalangan alumni,” kata Kasim.
Hasil dana itu juga katanya akan diperluaskan lagi tidak terhad kepada bantuan kebajikan semata-mata, tetapi juga untuk program, aktiviti atau bantuan kebajikan progresif serta untuk mengumpul modal bagi pembinaan bangunan Rumah Alumni.
“Selain itu, Skim Sumbangan Dana Alumni melalui potongan gaji kakitangan yang telah diperkenalkan seawal tahun 2017 masih lagi aktif dengan kutipan terkumpul adalah sebanyak RM39,650.00.
“Segala sumbangan murni melalui skim ini telah disalurkan ke Tabung Sahabat Alumni untuk kegunaan membantu alumni UMS yang ditimpa musibah, pelajar yang memerlukan bantuan serta pelbagai lagi aktiviti berteraskan kesejahteraan alumni,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Tabung Haji Wilayah Sabah dan Sarawak, Datin Hajah Nurlaila Said yang merupakan alumni FPEP tahun 2001 menyeru agar alumni universiti sentiasa menjalinkan hubungan yang baik dengan alma mater melalui Pusat Alumni, Persatuan Alumni dan Penyelaras Alumni di fakulti serta para pensyarah.
“Ini adalah bagi memastikan jalinan silaturahim yang berterusan antara alumni dan warga universiti dapat terjalin demi manfaat bersama.
“Saya turut berbangga sebagai alumni UMS kerana universiti ini telah berjaya melahirkan ramai graduan dan alumni yang kini berjaya dalam bidang masing-masing,” katanya ketika berucap dalam sesi perkongsian alumni.