LPPB teruskan cadangan pembangunan komersil di Pekan Melalap

KOTA KINABALU : Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) akan meneruskan cadangan untuk membangunkan pembangunan komersil di atas tanah LPPB di Pekan Melalap.

Pembantu Menteri I Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Isnin Aliasnih berkata, pihak LPPB telah membuat pengiklanan melalui laman sesawang LPPB dan menjemput beberapa syarikat pemaju untuk membangunkan tanah kepada projek komersil.

Bagaimanapun, katanya setakat ini belum ada syarikat yang berminat untuk menjalin usahasama bagi membangunkan tanah tersebut.

“Untuk makluman, semasa kerajaan terdahulu, pihak LPPB telah menerima cadangan pembangunan untuk lot-lot kedai secara usahasama daripada sebuah syarikat. Bagaimanapun, perundingan tersebut tidak diteruskan oleh syarikat berkenaan.

“Pihak kementerian sentiasa mengalu-alukan sebarang cadangan daripada Ahli Yang Berhormat Melalap sekiranya ada cadangan pembangunan atau rakan usahasama yang difikirkan sesuai untuk membangunkan tanah tersebut dan mengemukakannya kepada kementerian ini atau terus kepada pihak LPPB untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap, Datuk Peter Anthony pada Persidangan DUN Sabah di sini hari ini.