Minuman keras pelbagai jenama, bot pancung dirampas bernilai RM472,000

LABUAN : Maritim Zon Labuan merampas minuman keras pebagai jenama bersama sebuah bot pancung serta tiga enjin membabitkan nilai keseluruhan RM472,000 di sini semalam.

Pengarah  Zon Maritim, Kepten Maritim Izwan hadi Idros berkata, pihaknya mengesan sebuah bot pancung jenis fiber tanpa nombor pendaftaran jam 5.05 pagi dipercayai sedang bergerak dalam keadaan mencurigakan dari Pulau Labuan menuju Ke Menumbok di posisi 0.1 batu nautika dari Pulau Balangkasan, Labuan.

Katanya, semasa bot peronda menghampiri bot terbabit untuk pemeriksaan kemudiannya suspek bertindak memecut ke arah tebing hutan bakau muara Sungai Klias.

“Tekong kemudiannya melarikan diri ke hutan kayu bakau. Hasil daripada pemeriksaan telah menemukan sejumlah 10,728 tin minuman keras dan botol pelbagai jenama.

“Kesemua ini dipercayai dibawa secara haram sekali gus cuba diseludup keluar dari Labuan untuk pasaran tempatan serta kawasan sekitanya. Kes itu akan disiasat di bawah Akta Kastam 1967,” katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

Izwanhadi  berkata, pihak Maritim  Zon Labuan meneruskan usaha mengesan serta memburu dalang serta suspek bagi memastikan pelaku jenayah dikenakan tindakan undang undang dalam tempoh terdekat.

“Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melakukan aktiviti jenayah dan akan mengambil tindakan undang-undang yang berkaitan.

“Beliau turut memohon kepada orang ramai untuk membantu pihaknya dengan menyalurkan maklumat sekiranya terdapat sebarang aktiviti mencurigakan dengan menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Labuan di talian 087-453777 atau MERS 999 yang beroperasi 24 jam,” jelas Izwanhadi.