Sejumlah 39,276 warga asing melalui system ‘SWIMS’ di Sabah – Nizam

KOTA KINABALU : Sabah merekodkan seramai 39,276 orang warga asing yang merangkumi 21,994 orang pekerja dan 17,282 orang tanggungan berdaftar dengan majikan di negeri ini.

Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, kesemua mereka ini berjaya direkodkan ke dalam sistem Sistem Pengurusan Bersepadu Pekerja Asing dan Bukan Pemastautin Negeri Sabah (S.W.I.M.S) sekali gus diperakukan oleh majikan masing-masing.

Katanya, golongan warga asing ini didatakan berdasarkan matriks pendataan berpandukan Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Bagi golongan pendatang asing tanpa izin (PATI) pula, kerajaan tidak akan berkompromi dengan isu-isu keselamatan melibatkan PATI di Sabah, Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah dan agensi- agensi penguatkuasaan berkaitan.

“Maklumat perincian penuh akan dimaklumkan setelah aktiviti pendataan digital lengkap sepenuhnya serta akan sentiasa melaksanakan operasi penangkapan serta pengusiran terhadap golongan-golongan ini,” katanya pada jawapan Lisan di Mesyuarat Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri yang Ke-16, di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick bertanya kepada, apakah status semasa cadangan pendataan digital pendatang asing di Sabah dan berapakah jumlah pendatang asing terkini yang direkodkan di Sabah.

Nizam berkata, sejak bermulanya program Outreach aktiviti Pendataan Digital pada 12 September 2022 sehingga kini, program ini sedang berjalan dengan aktif, termasuk bulan Ramadan setakat ini lima syarikat perladangan terlibat sepenuhnya.

“Antara syarikat tersebut adalah termasuk Kumpulan Sawit Kinabalu, Sabah Softwood Berhad, Benta Wawasan Sdn. Bhd, FGV Plantations dan Cepat Wawasan Group Berhad.

“Fasa permulaan, Program Outreach Aktiviti Pendataan Digital ini tertumpu kepada sektor perladangan dan pembinaan, kerana kedua-dua sektor ini adalah sektor yang mempunyai bilangan warga asing yang tertinggi dan juga permintaan tenaga kerja yang aktif dalam kategori 3D iaitu Dirty, Difficult and Dangerous,” jelas Nizam.