KUALA LUMPUR: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksana di lima lokaliti di Sabah, termasuk tiga di Kota Kinabalu bermula 12 hingga 25 Julai ini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata di Kota Kinabalu, lokaliti terlibat ialah Kampung Suang Parai, Taman Kingfisher Sulaman dan Bandaran Berjaya, manakala dua lokaliti lain ialah QL Farm, Membalua, Tawau dan Kampung Pikat, Bongawan, Papar.
Sementara itu, PKPD di lokaliti Kampung Jawi-Jawi, Kota Belud, Sabah yang sepatutnya berakhir esok dilanjutkan sehingga 25 Julai.
Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata PKPD di enam lokaliti di Kuala Lumpur melibatkan Flat Seksyen 1 Wangsa Maju, Flat Seksyen 2 Wangsa Maju, Kampung Puah, Flat Desa Pandan (termasuk Baiduri dan Delima), Kampung Batu Muda dan Taman Koperasi Polis (Fasa 1), akan ditamatkan esok, lebih awal daripada dijadualkan.