SANDAKAN: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) mengambil tindakan segera dengan melaksanakan kerja pembaikan terhadap beberapa kemudahan di Hospital Duchess of Kent (HDOK) selepas isu berhubung fasiliti hospital itu tular di media sosial.
Menurut JKNS, pemeriksaan menyeluruh bersama syarikat konsesi penyelenggaraan mendapati terdapat beberapa kemudahan yang memerlukan penyelenggaraan.
Antara pembaikan yang telah diselesaikan termasuk pintu, kerusi roda dan beberapa kemudahan lain, manakala baki kerja sedang dilaksanakan mengikut keutamaan.
JKNS turut memaklumkan rondaan berkala terhadap fasiliti hospital akan dipertingkatkan bagi memastikan sebarang kerosakan dapat dikesan lebih awal.
Dalam masa sama, jabatan itu menghargai keprihatinan masyarakat dan menegaskan setiap maklum balas diterima sebagai usaha memperkukuh penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada rakyat.
Beberapa hari lalu, Sabah News Today turut menyiarkan Hospital Sandakan memerlukan peningkatan menyeluruh dari segi kemudahan, peralatan dan infrastruktur.
Ini bagi memastikan perkhidmatan kesihatan yang lebih selesa kepada pesakit serta persekitaran kerja yang lebih baik untuk petugas kesihatan.
