Lima graduan UMS terima Anugerah Lembaga Jurutera Malaysia

KOTA KINABALU: Lima graduan Fakulti Kejuruteraan (FKJ) Universiti Malaysia Sabah menerima Anugerah Lembaga Jurutera (BEM) pada hari terakhir Majlis Konvokesyen UMS ke-22 yang telah melabuhkan tirainya kelmarin.

Mereka terdiri daripada graduan Program Kejuruteraan Komputer, Maisarah Mohd Sufian, Lee Chi Ho (Kejuteraan Awam), Lee Kar Leong (Kejuteraan Elektrik dan Elektronik), Manjulia Subramaniam (Program Kejuruteraan Kimia) dan Teh Her Pang daripada Program Kejuruteraan Mekanikal.

Kesemua mereka masing-masing turut menerima wang RM400.

Majlis penyampaian anugerah disempurnakan Naib canselor UMS, Prof. Datuk. ChM. Ts. Taufiq Yap Yun Hin, di sini. Hadir sama Dekan FKJ UMS, Prof Madya Dr. Ismail Saad.

Sementara itu, salah seorang penerima Maisarah Mohd. Sufian, 25, ketika ditemui melahirkan rasa bangga atas pengiktirafan tersebut.

“Saya sebenarnya tidak menyangka dan berasa terkejut apabila mendapat tahu dinobatkan sebagai salah seorang penerima anugerah.

“Saya amat bersyukur serta dalam masa yang sama ingin berpesan kepada adik-adik yang masih lagi berjuang dalam pengajian untuk kekal fokus hingga sampai ke ‘garisan penamat’.

“Sekiranya konsisten, sudah pasti semua anda juga mampu menamatkan pengajian dengan cemerlang,” katanya yang kini melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana dalam jurusan Komputer Sains di UMS.

Untuk rekod, Anugerah BEM mula dianugerahkan pada tahun 2018 untuk memberi penghargaan kepada pelajar yang cemerlang dari segi akademik dan sahsiah dalam bidang kejuruteraan.

Pelajar yang terpilih merupakan dalam kalangan pelajar tahun akhir prasiswazah bagi setiap program kejuteraan yang mendapat keputusan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.60 ke atas dan memiliki sahsiah yang baik.

Maisarah (dua kanan) menerima anugerah BEM daripada Taufiq (tengah).