31 C
Kota Kinabalu
Sunday, May 22, 2022

Menangani stres dalam kalangan mahasiswa musim Endemik COVID-19

Oleh: Jakaria Dasan dan Norsimah Dasan

KOTA KINABALU: Seramai 4,728 graduan UMS berjaya menamatkan pengajian dan secara rasmi menjadi alumni UMS pada Majlis Konvokesyen UMS yang ke-22 yang berlangsung dari 26 Mac hingga 31 Mac 2022.

Uniknya graduan kali ini adalah kerana mereka adalah kumpulan pertama ketika COVID-19 muncul dan menyerang ganas lalu melumpuhkan seluruh sistem kehidupan bersosial manusia di penghujung tahun 2019 dan sepanjang tahun 2020.

Norsimah Dasan

Graduan inilah antara yang cekal berada di medan tahun akhir pengajian.

Bukan sahaja secara tiba-tiba mereka terpaksa berkurung dalam isolasi secara total di asrama dan di kediaman lainnya, malah terlepas peluang menjalani latihan industri yang amat bermakna buat pelajar tahun akhir.

Emosi dan perasaan mereka sangat terganggu dengan berita jangkitan yang mengakibatkan kematian yang meningkat dengan begitu mendadak sekali.

Keadaan yang ketika itu cenderung untuk para pelajar mengehadkan diri di bilik asrama dan hanya keluar jika perlu untuk membeli makanan telah mengendurkan semangat dan merosakkan konsentrasi untuk gigih belajar.

Yang pastinya, stres dalam kalangan mahasiswa amat membimbangkan.

Malah, pantas menguji kekuatan mental yang turut melemaskan fizikal.

Topik stres memang cukup popular dalam pelbagai wahana yang membincangkan cabaran kehidupan mahasiswa.

Mahasiswa merupakan golongan yang mudah mendapat tekanan akibat daripada penyesuaian pendidikan, sosial, persekitaran dan psikologi dalam suasana kampus.

Kajian menunjukkan bahawa pandemik Covid-19 menyebabkan semakin ramai golongan mahasiswa yang terdedah kepada masalah stres sehingga mendatangkan kesan kepada pencapaian akademik, aktiviti ko-kurikulum dan peranan sebagai ahli masyarakat.

Menjalani kehidupan sebagai seorang mahasiswa merupakan perkara yang agak mencabar bagi seseorang individu.

Hal ini kerana suasana di universiti adalah berbeza seratus peratus dengan suasana di sekolah.

Di universiti mereka perlu belajar berdikari dalam segala hal dan yang paling penting adalah mengurus masa dengan bijak.

Kegagalan mahasiswa untuk berbuat demikianlah yang menyebabkan mereka mengalami masalah stres sehingga mendatangkan kesan yang negatif kepada mahasiswa itu sendiri.

Apatah lagi apabila terpaksa berhadapan dengan kesan pandemik Covid-19 sehingga yang menyaksikan aktiviti pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka terjejas teruk.

Data mengenai pandemik Covid-19 berkembang dengan cepat sebagaimana kajian yang dilakukan dalam kalangan pelajar universiti, populasi umum, pekerja penjagaan kesihatan dan orang yang mengalami gangguan mental.

Ini mengesahkan kesan negatif krisis Covid-19 terhadap kesihatan mental terutamanya yang memperlihatkan wajah-wajah kegelisahan, dihimpit tekanan, dan berselubung kemurungan.

Mahasiswa mungkin merupakan populasi yang sangat rentan untuk masalah kesihatan mental memandangkan cabaran yang biasanya berkaitan dengan peralihan ke alam dewasa dan kesukaran ekonomi serta material yang kerap dari populasi ini.

Bahkan sebelum kelibat ngeri COVID-19 muncul, pelajar universiti diketahui mempunyai tahap kerumitan, kegelisahan, dan gejala depresi yang tinggi. Kemungkinan besar, kedatangan COVID-19 telah melonjakkan tingkat kenaikan ini.  

Ini adalah kerana disebabkan oleh faktor situasi termasuklah kepercayaan bahawa ‘lockdown’ mengganggu prospek pekerjaan masa depan mereka, gejala COVID-19 yang sukar dibendung, dan masalah kesihatan yang membawa maut.

Kajian terdahulu juga mendedahkan stres terkait dengan faktor demografi.  

Antaranya didapati peranan jantina membezakan pengaruh stress dalam kalangan pelajar di universiti terutamanya kebimbangan yang ternyata menjadi masalah paling umum dan serius bagi pelajar perempuan.

Manakala, pelajar lelaki didapati lebih berkemampuan untuk mempunyai cara bagi mengatasinya.

Selain itu, dalam konteks perbezaan umur, kajian menunjukkan kemurungan dan kebimbangan jauh lebih tinggi dalam kalangan pelajar yang lebih tua (20 ke atas) dan mereka yang dilahirkan di luar bandar.

Skor stres yang lebih tinggi juga berlaku secara signifikan dalam kalangan pelajar yang lebih tua (20 ke atas), wanita, Melayu dan bumiputera, dan mereka yang keluarganya berpendapatan rendah atau tinggi berbanding mereka yang berpendapatan sederhana.

Menerusi dapatan daripada kajian-kajian ini, usaha untuk menangani stres dalam kalangan mahasiswa pada era endemik sudah pun boleh disimpulkan untuk dijadikan sebagai asas yang boleh digunakan bagi mengawal trauma COVID-19 dari terus membelengu minda dan merantai psikologi mahasiswa.

Related Articles

Stay Connected

156,557FansLike
2,116FollowersFollow
0SubscribersSubscribe
Iklan

Latest Articles