Lapan Keluarga Dipindahkan Susulan Banjir di Kampung Beliajung

KOTA MARUDU: Seramai lapan keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) selepas kediaman mereka di Kampung Beliajung terjejas akibat hujan lebat berterusan sejak awal pagi semalam.

Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kota Marudu dalm kenyataan berkata, pasukannya telah digerakkan ke lokasi dikenal pasti sebagai hotspot banjir bagi memantau paras air dan menyalurkan bantuan kepada penduduk terjejas.

Menurutnya, hasil pemantauan mendapati laluan Jalan Langkon–Pitas masih dinaiki air dan tidak dapat dilalui kenderaan kecil.

Beberapa rumah di kampung berkenaan turut dimasuki air berikutan peningkatan paras sungai susulan hujan berterusan.

Semua Penduduk Terjejas Bencana (PTB) dipindahkan ke Dewan SMK Tandek 2 sebagai langkah berjaga-jaga.

Operasi pemantauan dan bantuan masih diteruskan bagi memastikan keadaan kekal terkawal.

Setakat ini, tiada sebarang pengisytiharan bencana dibuat.

Orang ramai yang memerlukan bantuan kecemasan boleh menghubungi talian 999 atau Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Kota Marudu di talian 088-661 656.