Lapan Mangsa Banjir Kilat Diselamatkan Bomba di Sandakan

SANDAKAN: Seramai lapan mangsa termasuk kanak-kanak dan warga emas berjaya dipindahkan dalam kejadian banjir kilat di Lot 56, Peringkat 1, Batu 12, di sini hari ini.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Negeri Sabah menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 8.10 pagi sebelum sepasukan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan digerakkan ke lokasi sejauh 20 kilometer.

Pasukan tiba pada jam 8.32 pagi dan mendapati berlaku kenaikan paras air secara mendadak sehingga menyebabkan mangsa terperangkap.

Komander Operasi, PBK I Syamzari Ghani berkata, operasi pemindahan dijalankan menggunakan bot penyelamat bagi memastikan semua mangsa dapat dikeluarkan dengan selamat.

“Kesemua mangsa berjaya dipindahkan ke rumah ahli keluarga terdekat yang berada di kawasan tidak terjejas,” katanya dalam satu kenyataan.

Mangsa terlibat terdiri daripada tiga perempuan dewasa, dua kanak-kanak perempuan, dua kanak-kanak lelaki serta seorang warga emas perempuan.

Operasi yang turut melibatkan sebuah kenderaan Vigo dan sebuah Lori Handalan itu ditamatkan sepenuhnya pada jam 9 pagi selepas keadaan disahkan terkawal dan tiada sebarang bahaya lain dikesan.