Laluan laut dicadangkan bagi syarikat Kayu Balak di Kalabakan

TAWAU : Laluan laut dicadangkan kepada syarikat ‘Kayu Balak’ bagi mengurangkan kerosakan jalan raya sekali gus mengelak berlaku kemalangan di kawasan Kalabakan.

Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy berkata, ini berikutan faktor utama kerosakan jalan raya dikenal pasti  berpunca daripada aktiviti lori pengangkut kayu balak.

Katanya, syarikat kayu balak ini sering kali membawa muatan secara berlebihan sehingga mengundang kejadian kemalangan di Kalabakan baru-baru ini.

“Keadaan kerosakan jalan raya bagi laluan Tawau sehingga Kalabakan didapati semakin teruk sehingga memerlukan kos yang tinggi untuk membaikinya.

“Sebagai langkah jangka masa panjang, saya bersama agensi berkaitan mencadangkan agar kaedah pengangkutan kayu balak dikembalikan ke laluan laut atau sungai untuk diwujudkan semula,” katanya di sini semalam.

Muhammad Suryady merupakan Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan berkata, kejadian sebatang kayu balak terjatuh menghempap sebuah kenderaan hampir meragut nyawa pasangan suami isteri dilihat boleh mendatangkan kebimbangan dalam kalangan orang ramai.

“Kita memandang serius kejadian ini seboleh-bolehnya dielakkan agar tidak berulang kembali berlaku. Ini kerana didapati hampir setiap hari banyak lori balak menggunakan jalan raya ini.

“Sebab itu, kita menggesa agar semua pihak terbabit untuk meneliti serta meningkatkan aspek keselamatan jalan raya terutama di kawasan Kalabakan ini,” jelas Muhammad Suryady.

Menurutnya, sehingga kini projek pembinaan Lebuhraya Pan Borneo fasa ketiga merangkumi laluan Merotai-Kalabakan-Sapulut masih memerlukan masa lama untuk disiapkan.

“Langkah awal perlu diambil untuk menangani masalah kerosakan jalan rosak serta kemalangan berpunca dikenal pasti daripada syarikat pengangkutan kayu balak.

“Kita berharap agar kerajaan dapat mempertimbangkan cadangan ini secara serius berikutan dua perkara dapat diselamatkan iaitu infrastruktur jalan raya serta nyawa pengguna jalan raya,” kata Muhammad Suryady.