Laporan khas siri 3
oleh Noorasvilla Muhamaa
BELURAN : Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah sedia bekerjasama dengan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bagi menangani isu Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) Sistem Solar Hibrid yang terbengkalai.
Pembantu Menteri KPLB Sabah, Datuk Samad Jambri berkata pihaknya juga mengalu-alukan sekiranya KKDW mahu menurunkan kuasa kepada KPLB Sabah untuk meneruskan projek yang tergendala sejak beberapa tahun itu.
Menurut beliau, kementeriannya sedar dan ambil maklum mengenai projek itu yang telah terbengkalai di beberapa lokasi, bagaimanapun ia terletak sepenuhnya di bawah bidang kuasa KKDW.
“Ya ini adalah isu berbangkit sejak beberapa tahun ini. Projek BELB bagi pemasangan Sistem Solar Hibrid masih di bawah seliaan KKDW, tetapi apa yang saya diberitahu isu ini lebih kepada masalah kontraktor pelaksana yang tidak berupaya untuk meneruskan atau menyiapkan projek.
“Kalau tidak silap, khidmat kontraktor asal sudah ditamatkan dan mungkin KKDW perlu melantik kontraktor baharu untuk meneruskan projek ini. Saya kurang pasti mengenai status terkini projek ini,” katanya kepada Sabah News Today.
Terdahulu, Sabah News Today telah mengeluarkan laporan pertama mengenai lebih 1,900 penduduk Pulau Jambongan yang masih belum menikmati bekalan elektrik efisien dan perlu bergantung sepenuhnya dengan mesin generator.
Penduduk mendakwa Projek BELB Sistem Solar Hibrid yang diberikan kepada empat kampung dalam pulau itu telah terbengkalai sekaligus memusnahkan harapan penduduk untuk menikmati kemudahan asas tersebut.
Pada laporan kedua, projek sama juga dilaporkan terbengkalai di Kampung Keniogan, Beluran yang mana ia telah menjejaskan kehidupan penduduk setempat termasuk lebih 400 komuniti nelayan.
Ketika ini, kampung tersebut menerima bekalan elektrik yang tidak stabil disalurkan melalui dua unit transformer yang sudah uzur dan berusia lebih 25 tahun milik Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).
Penduduk memberitahu pihak SESB tidak dapat menaiktaraf mesin tersebut berikutan kampung mereka telah mendapat kelulusan bagi pembangunan Projek BELB Sistem Solar Hibrid.
Menurut Samad, kementeriannya sebelum ini telah memanjangkan isu tersebut kepada KKDW, bagaimanapun KPLB belum menerima sebarang perkongsian maklumat terperinci mengenai tindakan dan status terkini projek itu.
“Ya dari awal memang ini projek kementerian di peringkat persekutuan. KPLB tidak dapat berbuat apa-apa urusan lanjut kerana pihak kami juga akan merujuk KKDW yang menjaga sepenuhnya projek ini.
“Bagaimanapun, pihak kami sedia membantu dan mengalu-alukan sekiranya KKDW mahu bekerjasama ataupun menurunkan kuasa kepada KPLB untuk meneruskan projek BELB Sistem Solar Hibrid.
“Adalah lebih baik sekiranya projek tersebut diteruskan daripada terbengkalai begitu sahaja sedangkan peralatannya telah siap dibawa ke kampung. Dalam situasi ini, kebajikan dan kesejahteraan rakyat perlu diutamakan,” jelasnya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Labuk percaya terdapat banyak lagi kampung luar bandar yang berkongsi nasib sama dengan penduduk Pulau Jambongan dan Kampung Keniogan ekoran Projek BELB Sistem Solar Hibrid yang terbengkalai.