KPDN Labuan laksana 84 Program Jualan Rahmah sepanjang 2023

LABUAN: Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutan Labuan mencatatkan 84 Program Jualan Rahmah (PJR) termasuk lima kali Jualan Rahmah Premium.

Pengarah Pejabat KPDN Labuan, Junaidah Arbain berkata, kejayaan itu juga menunjukkan KPDN Labuan berjaya mencatatkan peratusan tertinggi di Malaysia berbanding dengan negeri lain iaitu sebanyak 358.82 peratus.

“Sepanjang tahun lalu KPDN Labuan telah berjaya melaksanakan 84 PJR termasuk lima kali Jualan Rahmah Premium di Kompleks Pertubuhan Peladang, Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan, dan Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) dan sebanyak 15 kali di pasaraya yang menjadi rakan strategik KPDN,” katanya pada Majlis Pelancaran Jualan Rahmah Bergerak di Balai Raya Kampung Bukit Kuda, dekat sini, semalam.

Majlis pelancaran disempurnakan Timbalan Pengerusi Perbadanan Labuan Simsudin Sidek.

Sementara itu, Junaiadah berkata, pelaksanaan PJR sepanjang tahun 2023 mendapati barangan seperti beras, telur, ayam bulat antara barangan yang mendapat permintaan tinggi daripada pengguna disebabkan harganya lebih murah berbanding pada hari biasa.

Katanya program Jualan Rahmah Bergerak yang berkonsepkan “Kedai Cari Rakyat akan diadakan setiap bulan di lokasi yang berbeza.

Menurutnya program yang berkonsepkan “Kedai Cari Rakyat itu telah memberikan manfaat kepada rakyat dengan menawarkan harga yang lebih murah sehingga diskaun 30 peratus yang secara tidak langsung telah membantu meringankan beban kos sara hidup golongan kurang berkemampuan termasuk golongan B40.