SANDAKAN : Dua awak-awak nekad terjun laut dalam usaha untuk meloloskan diri daripada ditahan ketika aksi kejar mengejar antara pasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Sandakan dan sebuah bot pancung di sini, semalam.
Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Zainudin Mohd Zuki berkata, bot peronda yang sedang dalam operasi pada pukul 8.30 malam telah mengesan sebuah bot pancung yang mencurigakan di perairan Tanah Merah.

Susulan itu, katanya, pihak Maritim Malaysia kemudiannya mengarahkan bot suspek agar berhenti dengan menggunakan pembesar suara dan membunyikan siren untuk pemeriksaan.
Bagaimanapun, jelasnya, bot terbabit tidak memberikan kerjasama dan telah memecut laju menghala ke Perairan Tanjung Batu sambil bertindak membuang lapan unit tong disyaki berisi petrol dalam anggaran 200 liter ke laut.

“Dua suspek yang berada di dalam bot tersebut bertindak terjun ke laut. Seorang lelaki berumur 41 tahun disyaki warga Filipina berjaya diselamatkan manakala seorang lagi tidak dapat dikesan.
“Bot yang menggunakan dua enjin sangkut 40 kuasa kuda setiap satu berjaya ditahan pada pukul 9.15 malam di kedudukan 1.38 batu nautika tenggara Tanah Merah.
“Kesemua rampasan dibawa masuk ke Jeti Zon Maritim Sandakan dan diserahkan kepada pegawai penyiasat,” katanya.
Menurut beliau, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana membawa barang kawalan tanpa permit yang sah, Akta Imigresen 1959/63 kerana memiliki dan mengemukakan dokumen pengenalan diri meragukan serta Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam ketika menjalankan tugas.