SANDAKAN : Sebanyak 39 persatuan kaum Cina dan tokong di sekitar Sandakan telah menerima sumbangan kepala singa daripada Kerajaan Negeri Sabah bagi tahun ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karamunting, George Hiew Vun Zin berkata masyarakat Cina di daerah ini melahirkan penghargaan di atas keprihatinan kerajaan negeri yang telah empat tahun berturut-turut memberi sumbangan seumpama.
Katanya, ia jelas menunjukkan kerajaan negeri diterajui Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor prihatin terhadap semua kaum yang ada di negeri ini termasuk kaum Cina.
“Tarian singa merupakan tradisi budaya yang amat penting bagi kaum Cina sempena menyambut Tahun Baharu Cina. Kita berterima kasih kerana kerajaan negeri telah meneruskan usaha untuk menyumbangkan kepala singa kepada persatuan dan tokong di seluruh negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Penyerahan Kepala Singa Kepada Masyarakat Tiong Hua Sabah sempena Tahun Baharu Cina 2024 anjuran Kerajaan Negeri Sabah di Tokong Che Siang Khor, Jalan Buli Sim-Sim di sini, hari ini.
Pada majlis tersebut, beliau bersama jemputan kehormat lain turut menyempurnakan simbolik menitik mata singa.
Hadir sama, ADUN Tanjong Papat Datuk Frankie Poon Ming Fung, Pengerusi Jetama Water Sdn Bhd Liau Fui Fui dan Ketua Polis Daerah Sandakan ACP Abdul Fuad Abdul Malek.
Untuke rekod, Kerajaan Negeri Sabah telah memperuntukkan sebanyak RM1.5 juta pada tahun ini bagi sumbangan kepala singa kepada persatuan Cina dan tokong di seluruh negeri.