Ellron menang tanpa tanding Ketua Bahagian STARSABAH Sook

KENINGAU : Penyandang jawatan Ketua Bahagian Parti Solidariti Tanah Airku (STARSABAH) Sook, Datuk Ellron Angin mengekalkan jawatannya apabila memenangi pemilihan tersebut tanpa tanding dalam sesi pemilihan Mesyuarat Tri Tahunan STAR SABAH Bahagian Sook di Kampung Biah Tengah, kelmarin.

Ellron yang juga Menteri Belia dan Sukan Sabah itu bakal mengetuai pimpinan STAR SABAH Bahagian Sook sepanjang sesi tl2024 hingga 2027.

Bagi jawatan Timbalan Ketua Bahagian pula disandang oleh Setiausaha Politiknya iaitu Jreneus Pagut.

Manakala bagi jawatan tiga Naib Ketua Bahagian pula masing-masing disandang oleh Lanusag Etap@Raipol, Dominik Kogi dan seorang lagi muka baru Jauni Liam.

Bagi barisan Ahli Jawatankuasa yang baharu pula didahului dengan Indiu Bandi, Andy Jusit, Alludin Yunus, Henry Silingan, Manuil Labinsin, Agustine Angkimo dan Agustine Kihing.

Sementara itu, Ketua Wiramuda dan Wiranita pula masing-masing disandang oleh Larry Duin Edwin dan Rashna Angin

Mengulas lanjut kepada pemilihan kali ini, Ellron mengingatkan kepada barisan kepimpinan baharu yang dipilih bahawa jawatan yang digalas dan diamanahkan ini bukanlah satu keistimewaan malah satu pengorbanan dan tanggungjawab sebagai ahli STAR.

“Kita jangan fikir menjawat jawatan ini adalah satu keistimewaan tetapi adalah satu tanggungjawab, sebenarnya keahlian kita dalam jawatankuasa adalah satu tanggungjawab besar,” katanya.

Di samping itu beliau menggesa mereka yang baharu dilantik dalam Ahli Jawatankuasa Tertinggi (AJKT) Bahagian Sook untuk terus memperjuangkan hak-hak Sabah dan berkempen bagi mengukuhkan kekuatan parti selari dengan hasrat presiden STAR dan itulah tugas utama di peringkat Bahagian Sook.

Bagi membolehkan AJKT Bahagian Sook lebih seimbang, beliau turut memaklumkan beberapa jawatan lain yang masih kosong akan diisi bukan sahaja dalam kalangan ahli politik tetapi mereka yang berpandangan jauh.

“Malah golongan muda juga tidak akan dipinggirkan dalam mengisi kekosongan itu nanti memandangkan mereka mempunyai peranan besar dalam memberikan cadangan-cadangan bernas bukan sahaja kepada bahagian tetapi kepada negeri Sabah,” katanya.

Difahamkan pemilihan AJKT ini merupakan pemilihan AJKT bahagian yang pertama bagi parti STAR dan akan disusuli dengan pembubaran bahagian-bahagian lain di seluruh Sabah.