27 orang mencurigakan dalam bot di tahan Maritim Malaysia

π—žπ—’π—§π—” π—žπ—œπ—‘π—”π—•π—”π—Ÿπ—¨ : Agensi Peguatkuasaan Maritim Malaysia, Maritim Negeri Sabah dan W.P Labuan telah menahan sebuah bot nelayan tempatan di posisi 10.2 batu nautika Utara Tanjung Luk Pisuk, Tuaran, lebih kurang pukul 5.43 petang semalam.

Pengarahnya, Laksamana Pertama Maritim Datuk Che Engku Suhaimi Che Engku Daik berkata, hasil daripada pemantauan radar Sistem Pengawasan Laut, Sabah (SWASLA) telah mengesan pergerakan bot yang mencurigakan dari perairan Filipina menuju masuk ke perairan Kota Kinabalu.

27 orang mencurigakan dalam bot di tahan Maritim Malaysia.

Katanya, bot Peronda Maritim yang sedang melaksanakan beberapa siri operasi telah diarahkan untuk menuju ke lokasi bot terbabit untuk pemeriksaan.

β€œHasil pemeriksaan mendapati nama juragan tiada dalam salinan lesen bot selain beliau bersama 12 orang penumpang telah mengemukakan dokumen pengenalan diri yang meragukan.

β€œPemeriksaan lanjut turut mendapati seorang penumpang mengemukakan kad pengenalan Malaysia, seorang mengemukakan dokumen pas lawatan sosial, empat orang mengemukakan sijil lahir dan selebihnya gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri.

β€œKesemua mereka berumur lingkungan 14 hingga 70 tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Che Engku Suhaimi berkata, dalam tangkapan berkenaan, salah seorang penumpang merupakan seorang lelaki buta berusia 52 tahun dan sebuah keluarga terdiri daripada bapa bersama seorang anak lelaki.

β€œDua anak perempuan berumur lingkungan 14 -23 tahun. Empat orang wanita warga emas berumur lingkungan 55 hingga 66 tahun turut berada dalam bot tersebut.

β€œJuragan, penumpang dan bot telah ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63 dan Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002,” jelas Che Engku Suhaimi.

Menururnya lagi, bot juragan dan penumpang diiring ke Jeti Maritim Negeri Sabah Sepanggar untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat.